Skuad gimnas senaman berpasukan negara melakar kejutan apabila meraih podium buat julung kalinya dalam Kejohanan Gimrama Asia 2018 di Arena Axiata, hari ini.

Skuad negara yang dibarisi enam gimnas, iaitu Koh Jei Yi, Chan Mei Thung, Nur Naimei Zainul Ariffin, Rachel Cheng, Tan Wei Wen dan Shak Yuki meraih pingat gangsa bagi aparatus gelung dengan kutipan 16.200 mata

Pencabar dari Jepun mengungguli acara ini dengan jumlah mata tertinggi 17.750 mata manakala Kazakhstan di tempat kedua selepas mengumpul 16.750 mata.

Ini merupakan podium pertama buat mereka di pentas Asia selepas meraih tempat keenam pada edisi lalu di Astana, Kazakhstan.

"Kami benar-benar telah menampilkan aksi terbaik dan membuktikan kebolehan kami, mengharungi pelbagai pengalaman dalam banyak kejohanan. Kami berpuas hati dengan aksi pada hari ini," kata Yuki.

Jurulatih negara, Eriko Akebayaishi, berharap pingat gangsa yang diraih ini mampu membuka mata pihak Majlis Sukan Negara (MSN) agar gimnas negara diberi pendedahan lebih banyak selepas ini apabila acara senaman berpasukan kurang diberi perhatian dan tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang.

"Saya berharap pihak Majlis Sukan Negara (MSN) akan lebih menyokong kami untuk program ini kerana Kejuaraan Asia tidak berada dalam program. Kami memerlukan lebih sokongan," kata Eriko.

Sementara itu, gimnas negara, Amy Kwan dan Izzah Amzan, sekadar berpuas hati di tempat ke-10 dan 13 dalam acara individu all around.

Amy mengumpul sebanyak 54.450 mata manakala Izzah mencatat 51.950 mata secara keseluruhan.

Amy selaku pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast ternyata kecewa dengan aksi ditampilkan, khususnya bagi aparatus reben yang hanya mencatat 11.700 mata.

Bukan disebabkan kepenatan dengan jadual padat tetapi kecederaan buku lali yang dialami sehari sebelum kejohanan merencatkan aksi Amy kali ini.

"Saya boleh katakan ia adalah kecederaan kecil. Saya berasa sakit pada buku lali bahagian kiri dan ia sebagai satu sebab tetapi saya tidak menganggapnya satu alasan. Sebagai atlet profesional, kami tidak boleh menyalahkan aspek lain selain diri sendiri," katanya.