Dua gimnas negara, Amy Kwan dan Izzah Amzan, meletakkan diri dalam kedudukan baik untuk layak ke final Kejohanan Gimrama Asia 2018 selepas meneruskan aksi memukau di Axiata Arena hari ini.

Hari pertama kelayakan semalam menyaksikan tiga gimnas, Amy, Izzah dan Koi Sie Yan, mempamerkan aksi memikat dalam aparatus gelung dan bola.

Aparatus reben menjadi ujian sebenar kepada kredibiliti skuad negara, terutama Amy, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Memulakan langkah buat Malaysia pada hari kedua ini adalah Izzah yang konsisten sepanjang rutinnya.

Mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan, Izzah menamatkan persembahan dengan catatan 13 mata.

Sie Yan yang turun seterusnya pasti mengharapkan sesuatu yang berbeza selepas mempamerkan aksi di luar jangkaan.

Bukan terbaik tetapi sebaliknya hanya memperoleh 10.50 mata.

Amy, bagaimanapun, tidak mengecewakan sepanjang 1 minit 30 saat dalam penyampaian rutin rebennya.

Kawalan kemas aparatus dan gerakan di lantai menyaksikan Amy dianugerahkan 14.10 mata.

Tetapi wakil Kazakhstan, Alina Adhilkanova, yang berada dalam sesi sama dengan tiga gimnas negara itu, turut mencuri tumpuan.

Tidak banyak yang memisahkan aksi dia dengan Amy tetapi dia menamatkan saingan di atas Amy dengan berkelebihan 0.60 mata.