Tiada tekanan buat skuad wushu negara dalam Kejohanan Dunia di Kazan, Russia selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam Sukan SEA 2017 bulan lalu.

Pentas Sukan SEA menyaksikan skuad wushu negara memperoleh enam pingat emas, lima perak serta tiga gangsa, antara pencapaian terbaik pernah dilakukan.

Lantas, timbul keyakinan mereka mampu melakukan yang lebih baik dalam Kejohanan Dunia dari 27 September hingga 3 Oktober ini.

Untuk rekod, edisi Kejohanan Dunia dua tahun lalu di Jakarta, Indonesia menyaksikan skuad wushu negara mendapat tiga emas, empat perak serta empat gangsa.

Jurulatih wushu negara, Lim Yew Fai, bagaimanapun mengakui cabaran dalam Kejohanan Dunia kali ini lebih sukar dengan pembabitan beberapa negara handalan seperti China dan Hong Kong.

"Kali ini, saya menjangkakan tidak banyak emas diperoleh sebab dalam kejohanan sebelum ini kami mempunyai banyak acara yang wajib tetapi kali ini tiada lagi acara wajib.

"Skuad negara juga tidak menyertai acara tradisional, kami tiada masa untuk berlatih kerana kami perlu fokus kepada Sukan SEA dan Sukan Universiti," katanya.

Secara keseluruhan, lapan atlet yang diketuai atlet berpengalaman, Ho Mun Hua serta Loh Jack Chang akan membawa cabaran Malaysia di Kazan nanti,

Mun Hua dalam misi untuk mempertahankan gelaran nandao manakala Jack Chang menjadi taruhan untuk saingan taijiquan dan taijijian.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Yeap Wai Kin, menaruh harapan untuk membutirkan emas selepas aksi yang cukup memikat dalam Sukan SEA.

"Sehingga hari ini, kami mempunyai persediaan yang baik. Semuanya sama seperti Sukan SEA. Kami perlu kekalkan prestasi baik," tambah Yew Fai.