Jaguh silat negara, Al-Jufferi Jamari, menepati ramalan mara ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia Silat susulan kemenangan ke atas wakil Algeria, Zetout Abdelmalik di MITC, Melaka.

Namun kemenangan yang diraih itu tidak semudah yang disangka selepas Abdelmalik memperagakan pertempuran yang terlalu bertahan.

Situasi itu memaksa Jufferi menukar strategi dan percaturan pertempuran dengan menggunakan teknik grabbing.

Ianya ternyata membuahkan hasil apabila teknik itu gagal dibendung lawannya itu.

Menuju penghujung saingan, saingan lebih terbuka dan ia membuka ruang dan peluang buat Jufferi menambah kutipan mata menerusi kelincahan pergerakannya.

Selepas tiga pusingan, Jufferi meneruskan aspirasi kejuaraan dunia keempat peribadi menerusi kemenangan 48-17.

Dia bakal bertemu lawan di separuh akhir Sukan SEA Hanoi, Abdul Raazaq Abdul Rashid dalam misi memburu gelaran juara dunia esok.