Pemain boling padang lelaki negara, Soufi Rusli, muncul naib juara Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2017 apabila tewas 2-0 kepada Jeremy Henry dari Australia di Sydney hari ini.

Soufi melangkah ke final selepas mengalahkan pemain New Zealand, Ali Forsyth, untuk bertemu pemain pilihan, Henry.

Dalam set pertama, Soufi menampilkan aksi cemerlang pada awal permainan apabila mendahului 4-2 selepas ends keempat.

Namun, pengalaman Henry menyaksikan pemain Australia itu menyamakan kedudukan 4-4 pada ends kelima dan kedudukan terikat 5-5 sehingga ends kelapan sebelum Henry memastikan kemenangan set pertama dengan meraih mata di ends kesembilan dengan keputusan 6-5.

Set kedua lebih berat sebelah dengan Soufi gagal memberikan tentangan kepada Henry.

Soufi hanya meraih dua mata selepas ends ketiga dengan Henry kemudian mendominasi set kedua sepenuhnya untuk menamatkan permainan dengan kemenangan 10-2 selepas berakhir ends kesembilan.