Mohd Aniq Kasdan mencuri tumpuan dalam hari pertama Kejohanan Angkat Berat Terbuka Kebangsaan di Kuala Rompin, Pahang selepas melakukan catatan peribadi terbaiknya menerusi angkatan 105 kilogram snatch dan 140 kilogram bagi kategori 'clean and jerk' dengan jumlah bebanan 245 kg.

Atlet berusia 19 tahun kelahiran Segamat, Johor itu dijangka kembali memperkuatkan skuad kebangsaan selepas kali terakhir melakukannya dalam Sukan SEA 2019.

Aniq kini berada dalam kelompok tiga terbaik ranking kelayakan Kejohanan Sukan Komanwel kategori 55 kg.

Atlet elit negara, Muhammad Aznil Bidin pula mendominasi saingan 61 kg selepas mudah mengetepikan cabaran lawannya, Muhammad Danial Dahlan menerusi angkatan 275 kg.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 ini mengakui tidak berada di kemuncak prestasi, malah dibezakan 10 kg daripada catatan terbaiknya yang dilakukan di Pattaya, Thailand.