Jurulatih Perak, Syukor Adam, menyifatkan gelaran kejuaraan kali keempat Kejohanan Hoki Bawah 16 sebagai lambang kerja keras mereka yang cuba mengumpulkan pemain terbaik bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Perak menamatkan penantian empat tahun untuk muncul juarai kategori lelaki selepas mengetepikan juara bertahan musim lalu, Terengganu, menerusi kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

Jaringan padang daripada Affiful Najmi Mohd Masri pada minit 25 sudah cukup buat Perak meleraikan tentangan sengit Terengganu.

"Apa yang kami impikan untuk membawa kejayaan piala ini ke Ipoh memang ditunaikan. Ini adalah satu kerjasama sepasukan. Inilah hasilnya. Dengan semangat yang tinggi dan kerjasama yang kuat, kami berjaya tahun ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Nik Rozemi Nik Mohamad, pula melihat kekurangan masa rehat selepas aksi terakhir menentang Pahang sebagai punca mereka gagal beraksi baik dalam perlawanan akhir.

Tetapi, mereka berjanji akan bangkit pada edisi depan serta memperbaiki beberapa kelemahan pasukan terutama dalam aspek serangan.

"Saya memuji pemain saya kerana mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi," katanya.

"Proses pemulihan perlu mengambil masa kerana kami lewat menamatkan perlawanan malam tadi, 10.30, ia tidak cukup 24 jam.

"Namun apa yang pemain saya persembahkan dalam perlawanan akhir ini amat membanggakan. Mereka kental dan sanggup berjuang hingga wisel penamat."

Keputusan lain menyaksikan Pahang menundukkan Sabah, 2-1, untuk meraih gelaran pasukan ketiga terbaik kejohanan.

Nasib malang berterusan buat Negeri Sembilan apabila pasukan lelaki mereka tewas, 0-2, kepada Melaka.

Perlawanan akhir kategori perempuan pula menyaksikan Kuala Lumpur muncul juara selepas menewaskan sabah, 4-3.

Perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat dimenangi Selangor yang menundukkan Johor, 3-1.