Kejayaan atlet para dari Sabah, Jonathan Wong Kar Gee, memenangi pingat emas dalam Kejohanan Handisport Open World Grand Prix Para Athletic di Paris, baru-baru ini bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah menjadi kebanggaan buat seluruh rakyat Sabah.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata kejayaan Jonathan, 28, yang memenangi acara lompat jauh bagi kategori T-11-12 dengan lompatan sejauh 7.03 meter boleh dijadikan inspirasi kepada atlet para lain supaya terus berusaha gigih bagi mencapai kejayaan di masa akan datang.

"Saya gembira dengan kemenangan beliau (Jonathan), saya yakin beliau akan menjadi inspirasi bukan saja kepada atlet-atlet lain tetapi semua belia untuk lebih berusaha bagi mencapai kejayaan," katanya di Kota Kinabalu, kelmarin.

Phoong berkata kerajaan negeri Sabah juga akan berbincang untuk memberikan insentif kepada Jonathan kerana pencapaiannya mengharumkan nama negara, khususnya Negeri Di bawah Bayu.

Jonathan yang berasal dari Kota Kinabalu telah beberapa kali mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun berjaya melakukan 'lompatan emas' di Paris, Sabtu lalu, jarak lompatan Jonathan agak kurang berbanding pencapaian peribadi terbaik 7.22 meter miliknya.