Kejayaan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menjadi pembakar semangat pelumba CEV negara, Adam Norrodin, untuk meraih podium ketiganya di litar Catalunya, Sepanyol.

Adam berkongsi bersama wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, mengenai penyelarasan jenteranya menjelang perlumbaan tersebut serta keadaan terkini di Sepanyol.

"Situasi di Eropah adalah lebih baik berbanding di Malaysia sekaligus membenarkan saya boleh meneruskan persiapan di sini," kata Adam.

"Dua podium yang diraih sebelum amat menggembirakan dan usaha yang dipamerkan membuahkan hasil. Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan lagi dalam usaha untuk meraih petak pertama dalam perlumbaan seterusnya.

"Kejayaan Hafizh kembali dalam kelompok 10 terbaik amat membanggakan, saya sangat gembira dengan keputusannya dan berharap dalam menggunakannya sebagai pembakar semangat dalam perlumbaan saya."

Sementara itu, hampir sebulan selepas kejayaan pelumba muda negara, Danial Syahmi, dalam saingan Asia Talent Cup di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, kini danial beralih fokus kepada Kejohanan Superbike Malaysia MSBK.

Danial bakal beraksi dalam kategori 250cc dan optimis untuk meraih kedudukan tiga terbaik ekoran pencapaiannya yang mengagumkan dalam saingan Asia Talent Cup.

Walaupun bakal membawa jentera berbeza bagi saingan MSBK, Danial menjelaskan ia tidak menganggu teknik tunggangannya.