Misi menduduki ranking 30 terbaik dunia menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berjalan lancar buat pemain tenis berkerusi roda, Abu Samah Borhan, apabila merangkul kejuaraan pertamanya tahun ini.

Menyertai tiga kejohanan di Sri Lanka bermula 9 Februari hingga 22 Februari lalu jelas membuahkan hasil buat Abu Samah apabila berjaya menjadi juara acara perseorangan dalam kejohanan ketiga serta memasuki final bagi acara beregu.

Kejayaan itu membantunya dalam ranking dunia yang hanya dibezakan dua anak tangga untuk layak secara merit ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Sasaran saya sudah tercapai. Kalau ikut sasaran peribadi, mahu ke separuh akhir tetapi dengan prestasi semasa, saya dapat mara ke final di Sri Lanka. Kesukaran memang ada sewaktu separuh akhir, terpaksa beraksi dalam set penentuan, begitu juga dengan final," katanya.

"Dalam kejohanan terakhir, kami berada di prestasi terbaik. Saya dapat menundukkan dua pilihan dari Korea Selatan," tambah seorang lagi pemain negara, Mohamad Yusshazwan Yusuf.

Kejohanan di Sri Lanka juga menjadi penyuntik semangat buatnya merealisasikan misi menduduki ranking 30 terbaik dunia dengan harapan dapat memudahkan undian ketika temasya Paralimpik.

"Sasaran saya memang 40 terbaik tetapi tidak mustahil untuk mencapai 30 terbaik selepas meraih kejuaraan di Sri Lanka."