Atlet angkat berat negara, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, menyifatkan kejayaan meraih emas dalam Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Gold Coast, Australia sebagai penebus kegagalan menaiki podium dalam saingan 56 kilogram dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet kelahiran Rompin ini mengakui kecewa gagal meraih pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur walaupun mencatat jumlah angkatan 258kg yang juga merupakan catatan peribadi terbaiknya.

Di Gold Coast, Azroy mencatat jumlah angkatan 253kg untuk emas dan baginya, ia bukan mudah untuk dilakukan memandangkan jarak pertandingan yang begitu dekat di antara Sukan SEA dan Kejohanan Komanwel itu.

"Saya telah menebus maruah di Gold Coast dan berjaya memecahkan rekod peribadi saya, sekaligus meraih pingat emas di sana," kata Azroy.

Fokus Azroy kini adalah untuk terus mengekalkan prestasi dengan sasaran utamanya adalah Sukan Komanwel yang juga akan berlangsung juga di Gold Coast tahun depan.

"Insya-Allah, jika saya dapat mengekalkan momentum ini, saya mampu menghadirkan pingat emas untuk Malaysia."

Setelah prestasi cemerlang dengan 145 pingat emas dalam Sukan SEA KL2017, kontinjen Malaysia kini akan bersiap sedia untuk Sukan Komanwel 2018 yang akan berlangsung di Gold Coast dari 4 hingga 15 April tahun depan.