Kapten skuad hoki ais wanita negara, Nur Illina Mohd Rothi, mengharapkan kejayaan muncul juara Kejohanan Piala Cabaran Asia awal bulan ini mampu meningkatkan lagi sambutan terhadap sukan itu di negara ini.

Skuad negara melakar kejayaan selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-3 dalam aksi terakhir kejohanan itu, 8 Mac lalu.

Illina berkata ia adalah satu kejayaan yang membanggakan memandangkan skuad negara sekadar menduduki tempat tercorot dalam edisi tahun lalu.

Kerana itu, Illina berharap kejayaan tersebut akan menyuntik minat ramai golongan muda untuk menceburi sukan itu.

"Kemenangan adalah sesuatu yang bagus. Ia membina lagi pendedahan kepada sukan ini kerana hoki ais adalah sukan minoriti di Malaysia.

"Kemenangan itu juga membolehkan masyarakat lebih mengetahui tentang hoki ais dan lebih ramai penyokong yang tampil. Ia bagus," katanya.

Dalam pada itu, penolong kapten skuad negara, Adilah Junid, pula berasa kejayaan Malaysia dalam saingan kali ini adalah kerana kehadiran ramai tonggak muda dalam pasukan.

Katanya, kehadrian pemain muda berupaya memberi nafas baru kepada pasukan.

"Pemain-pemain baru ini belajar sejak dari muda. Saya sudah 18 tahun baru mula belajar. Tahap kemahiran itu sudah meningkat.

"Saya membantu mereka agar kekal tenang, bekerja sebagai satu pasukan, menyokong antara satu sama lain dan bersikap positif dalam situasi mencabar," ujarnya.