Pelumba trek sensasi negara, Azizulhasni Awang, terus diberikan penghargaan apabila Malaysia Book of Records (MBR) mengiktiraf raja keirin itu menerusi dua sijil pencapaian.

Dua sijil itu ialah atlet berbasikal pertama Malaysia memperoleh pingat gangsa dalam Sukan Olimpik dan atlet berbasikal pertama Malaysia dinobat selaku juara dunia kategori keirin.

Azizulhasni menegaskan penghargaan dan pencapaian terbarunya itu ibarat pencetus semangat untuk dia sekali lagi mencipta kejutan dalam misi meraih emas Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020.

"Saya percaya ini adalah permulaan yang baik untuk misi ke Tokyo 2020 dan saya akan bekerja keras," katanya.

"Masih ada ruang untuk diperbaiki. Diharapkan dalam Sukan Olimpik nanti, kita akan dapat membawa pulang pingat emas pertama negara dan Malaysia Book of Records akan mencatat kejayaan tersebut."

Azizulhasni mengambil masa 10 tahun untuk memakai jersi pelangi selaku juara dunia acara keirin selepas meraihnya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong, Khamis lalu.

Ia adalah kejayaan utama kedua selepas pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu meraih pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.