Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura, Muhammad Zaki Mahzan, dilantik sebagai jurulatih memanah compound negara untuk menamatkan penantian skuad kebangsaan yang berlatih tanpa pengendali sejak setahun lalu.

Kehadiran Zaki menjadi pembakar semangat baru skuad compound negara.

Beliau menggantikan Adnan Ahmad yang meninggalkan skuad kebangsaan pada awal tahun lalu selepas membantu Malaysia meraih empat emas Sukan SEA Singapura 2015.

Jurulatih kelahiran Kedah ini enggan mengulas perlantikannya, namun apa yang pasti kehadirannya mendapat reaksi positif pemanah negara.

"Beliau merupakan bekas pemanah negara dan telah memenangi pingat emas di Sukan SEA Singapura. Saya berharap dapat menimba ilmu daripadanya," kata pemanah compound negara, Saritha Nam Chong.

Sebanyak lima emas ditawarkan dalam acara compound Sukan SEA Kuala Lumpur, , Ogos depan sementara lima lagi untuk recurve.

Bagaimanapun, ujian sulung Zaki ialah Piala Asia di India minggu depan di mana skuad compound meletakkan harapan tinggi terhadap trio Saritha, Nor Rizah Ishak dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang mencatat sejarah menjuarai siri pertama Piala Dunia 2015 di Shanghai, China.

"Pendapat beliau membantu kami dari segi latihan, teknikal peralatan dan menyediakan latihan buat kami untuk menghadapi kejohanan akan datang," ujar Rizah.