Pasukan ragbi Kedah sedia menampilkan persembahan lebih bertenaga dalam misi menamatkan penantian selama 10 tahun untuk merampas gelaran Piala Agong.

2008 merupakan kejayaan tunggal buat Kedah dalam Kejohanan Piala Agong selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 23-22 dalam final yang berlangsung di Alor Setar.

Justeru, timbul satu motivasi yang lebih tinggi kali ini untuk mengulangi pencapaian berkenaan selepas cabaran mereka tahun lalu terkandas dalam separuh akhir susulan tewas kepada Terengganu.

Pengendali Kedah, Mohd Romli Saad, percaya kombinasi pemain yang ditampilkan skuad Hijau Kuning itu lebih baik dalam edisi kali ini selain memberi peluang beberapa muka baru untuk membuktikan kemampuan.

Romli kembali diberi kepercayaan untuk mengendalikan Kedah selepas dua musim bersama Sabah sebelum ini.

"Sasaran daripada Presiden Kelab Ragbi Kedah, Tan Sri Abd Halim Karim, adalah untuk kami meraih status juara dan mengikut persiapan pasukan, saya rasa ia tidak mustahil.

"Jika tahun lepas kami menduduki tempat keempat, sudah tentu kami mahu mendapatkan gelaran juara tahun ini" katanya.

Antara persiapan yang dihadapi Kedah termasuk berdepan dua perlawanan ujian menentang ATM dan Kelantan sebelum Piala Agong membuka tirai, 6 Oktober ini.

Kemampuan mereka bakal teruji kerana lawan yang menanti adalah juara bertahan, Johor, di Stadium Mini Kota Tinggi.

"Semua pasukan telah melakukan persiapan dan siapa yang melakukan kesilapan akan kalah.

"Persaingan terbuka dan kehadiran pemain-pemain import akan membuatkan cabaran lebih rancak."