Garbine Muguruza menarik diri daripada saingan Piala Rogers selepas gagal pulih daripada masalah kecederaan lengan yang menghalangnya daripada beraksi di Silicon Valley Classic.

Pemenang dua kali grand slam itu terpaksa menarik diri daripada saingan Jelajah WTA di San Jose minggu lalu disebabkan masalah yang sama.

Kali terakhir pemain dari Sepanyol itu beraksi adalah ketika saingan Wimbledon, di mana dia gagal mempertahankan kejuaraan dan Muguruza menjelaskan dia memerlukan tempoh rehat yang lebih panjang untuk kembali ke tahap kecergasan asal.

"Malangnya, saya masih dalam proses untuk pulih daripada kecederaan lengan yang dilalui minggu lalu," kata Muguruza dalam satu kenyataan.

"Saya melakukan segala-galanya untuk cuba beraksi tetapi ternyata saya masih belum bersedia dan memerlukan masa.

"Saya akan rindukan aksi Piala Rogers dan tidak sabar untuk kembali bermain di Montreal di masa akan datang."

Pemain nombor tujuh dunia itu diundi untuk bertemu Anastasija Sevastova yang kini akan berdepan pemenang percuma, Monica Puig.