Atlet taekwondo poomsae negara, Sara Yap Khim Wen, enggan menjadikan kecederaan lama sebagai penghalang mempamer aksi cemerlang menjelang Kejohanan Taekwondo Terbuka Korea dan Sukan SEA Filipina Julai dan November nanti.

Buat masa ini, kecederaan di bahagian lutut dan buku lali yang masih membelenggunya, bukan penghalang untuk dia memberi persembahan terbaik.

Sara kini bergiat aktif dalam menjalani latihan meskipun kemudahan sukan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak boleh digunakan menjelang cuti perayaan Aidilfitri ini.

Namun, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu tetap komited mendapatkan sesi latihan dengan inisiatif bergerak secara sendiri demi mendapatkan rentak yang konsisten.

"Setakat ini segalanya berjalan lancar dan latihan yang lebih intensif akan bermula selepas tamat cuti Aidilfitri," katanya.

Atlet berusia 25 tahun itu sekarang mempunyai lebih masa dan fokusnya lebih terarah kepada karier taekwondo selepas baru sahaja menamatkan pengajiannya.

"Buat masa in, saya dapat memberikan tumpuan kepada karier dan selepas ini mungkin saya akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi."