Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumaili Reduan, bertegas pihaknya akan memastikan PSM kekal sebagai badan induk di Malaysia meskipun sudah disingkirkan daripada Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Dalam perkongisannya bersama wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, Sumali turut mengesahkan bahawa PSM kekal diberi tanggungjawab mempersiapkan pasukan sepak takraw ke Sukan SEA Vietnam Mei ini.

"PSM akan menggunakan tindakan di bawah undang-undang bagi mencabar keputusan ISTAF dan ASTAF. Buat masa ini, kami akan menggunakan setiap sudut berlandaskan undang-undang untuk mencabar keputusan ISTAF dan ASTAF," katanya.

"Saya percaya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bahawa PSM masih lagi diiktiraf sebagai badan induk sukan sepak takraw."

Bercakap mengenai saingan Liga Sepak Takraw (STL), Sumali berkata, "Kami telah berbincang mengenai musim hadapan dan secara tidak langsung telah berbincang dengan pihak Astro serta bersetuju melanjutkan kerjasama bagi 10 tahun akan datang.

"Kami akan berbincang sekali lagi minggu depan bagi penambahbaikan saingan STL dan dijangka saingan musim hadapan akan bermula Disember ini atau Januari tahun depan."