Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik pengumuman Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai kebenaran beberapa sektor sukan dan rekreasi untuk kembali beroperasi bermula esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KBS berkata kebenaran itu merupakan satu berita gembira kepada penggiat sektor sukan dan industri sukan selepas kelulusan fasa permulaan yang membenarkan latihan berpusat pasukan-pasukan Liga Bola Sepak Malayasia, Liga Hoki Malaysia dan Liga Sepak Takraw bermula pada 15 Februari 2021.

KBS juga telah mengemukakan permohonan untuk membenarkan beberapa lagi aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu dan peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.

Sehubungan itu, kelulusan fasa kedua berkenaan melibatkan jenis aktiviti sukan dan rekreasi seperti berikut:

• Individu dan tidak bersentuhan seperti jogging/ brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua (2) orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja, tenis/badminton/ping pong (acara perseorangan sahaja), permotoran (dua roda dan empat roda), gimnasium dan golf.

• Aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan).

•Penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial melibatkan pusat kecergasan/gimnasium, dewan badminton/gelanggang tenis/ping pong/takraw, padang hoki/bolasepak/futsal/bola keranjang, litar permotoran dan padang golf hendaklah secara penjadualan dan tempahan. Penggunaan secara 'walkin' TIDAK DIBENARKAN.

•Sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang melibatkan sentuhan, masih lagi TIDAK DIBENARKAN.

Pembukaan Aktiviti Sukan dan Rekreasi dibenarkan dengan SOP yang ketat berkuatkuasa 12 Februari 2021. #TeamKBS

Posted by KBSMalaysia on Thursday, 11 February 2021

Usaha KBS akan diteruskan dalam fasa seterusnya bagi membolehkan ekosistem sukan dan rekreasi dalam beroperasi berlandaskan prosedutr operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selaras dengan pengumuman tersebut, KBS telah mengemas kini dan menambah baik SOP Sektor Sukan dan Rekreasi sedia ada untuk panduan dan pematuhan semua pihak yang terlibat

Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi, sila laman web KBS seperti pautan berikut: http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi