Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengarahkan penganjur saingan Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage Sdn Bhd melunaskan bayaran wang kemenangan dalam tempoh sebulan selepas kedua-dua pihak bertemu di Putrajaya.

Penganjur bersetuju memasukkan wang hadiah kemenangan berjumlah sekitar RM800,000 ke dalam akaun pihak ketiga iaitu pihak peguam.

Tindakan itu untuk memberikan jaminan bahawa wang hadiah kemenangan sudah tersedia dan selepas mendapat lampu hijau Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), wang terbabit boleh terus dibayar kepada pemenang.

"Kami amat gembira apabila pihak KBS memahami isu pembayaran wang kemenangan saingan LTdL," kata Pengerusi Human Voyage, Datuk Abd Malek Maidin.