Kasma Daniel Kasmayudin tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan litar baharu apabila muncul pelumba terpantas sesi ujian masa kategori CP150 pada Pusingan 2, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Lumba Tangkak, Johor, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu mencatat masa terpantas 44.347s meskipun terjatuh ketika saingan masih berbaki 10 minit.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, Mohd Adib Rosley, muncul pelumba kedua terpantas dengan masa 44.554s, diikuti Norizman Ismail (Onexox TKKR Racing) ketiga dengan masa 44.717s.

“Saya sukakan reka bentuk litar ini. Ia sangat pantas dan menyeronokkan. Saya perlu mendapat keputusan terbaik di sini memandangkan saya tidak dapat beraksi dalam pusingan ketiga di Kemaman nanti. Saya perlu mengutip seberapa banyak mata,” jelas Kasma Daniel.

Rakan sepasukan Adib, Mohd Izzat Zaidi, mencatat masa keempat terpantas, 44.767s, manakala Mohd Zaqhwan Zaidi muncul pelumba terbaik Honda dengan masa 44.981s.

Sementara itu, duo PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd Akid Aziz dan Mohd Haziq Fairues, muncul pelumba terbaik CP115, masing-masing dengan catatan 46.034s dan 46.366s, diikuti Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) dengan masa 46.607s.

Dalam kelas Wira, Khairi Asyraf Mahmood dan Aiman Thirudin (PETRONAS Sprinta Yamaha - AFB Tech) muncul pelumba terpantas dalam sesi Shoot-Out dengan masa 46.921s dan 47.000s, diikuti Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) 47.004s.