Kasih bapa mendukung Tiger Woods menjadi legenda golf dunia dan senario sama dilimpahi buat bakat remaja negara, Ezekiel Suzearitz.

Sepanjang kerjaya, Woods membawa nama bapanya, Earl, sebagai sandaran utama kejayaan sejak kali pertama muncul juara remaja dunia pada 1984 ketika berusia 18 tahun.

Di Malaysia Suzearitz Suhimi, memainkan peranan sama buat anaknya, Ezekiel, yang memegang status sebagai pemain nombor satu bagi peringkat umur bawah 10 tahun kebangsaan.

Gandingan itu kini di landasan tepat untuk membuat penampilan dalam Kejohanan Remaja Dunia di San Diego, Amerika Syarikat bulan depan selepas dua kali berputih mata gara-gara kekangan kewangan.

"Saya rasa tidak sehebat Tiger Woods daripada segi permainan tetapi saya percaya Ezekiel mempunyai bakat. Saya tidak membuang masa.

"Saya harap dapat bersamanya lama lagi untuk perjalanan karier golf. Sampai satu masa, mungkin saya perlu lepaskannya kepada individu yang lebih layak," katanya.

Meskipun pembangunan golf peringkat akar umbi tidak sehebat negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, contohnya, Suzearitz tidak patah semangat untuk memastikan anaknya memenuhi potensi bagi menjadi pemain nombor satu negara satu hari nanti.

"Kalau lihat teknik, saya rasa dia milikinya. Cuma, sekarang perlu sabar kerana fizikal masih belum ideal. Dalam hati saya, dia akan melakukannya kerana bermula awal pada usia tiga tahun. Dia juga memasuki kejohanan pada usia lima tahun sebelum berada di podium setahun kemudian. Rekod dia nampak cantik."