Kemenangan atlet Johor, Mohammad Syazrul Adli, dalam acara 100 meter cukup bermakna buat dirinya apabila melakar catatan masa peribadi terbaik dalam Kejohanan Olahraga Karnival Pelapis 2019 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Atlet daripada Johor itu muncul juara apabila mencatat masa 10.77 saat untuk merekodkan catatan peribadi terbaiknya tahun ini, manakala tempat kedua dimenangi atlet Melaka, Muhammad Asyaari Anuar, dengan catatan 11.05s dan tempat ketiga diraih atlet Kedah, Muhammad Nazri Mustafa.

"Persembahan saya hari ini dibantu dengan keadaan badan yang amat konsisten, tambahan pula cuaca agak sejuk hari ini jadi saya banyak membuat sesi memanas badan agar tidak (otot) tidak tegang ketika berlumba tadi," kata Syazrul.

Bagi kategori wanita 100m untuk kategori 18 hingga 19 tahun menyaksikan atlet yang sinonim dengan acara 200m, Darshini K Murugan, dari Pahang mengungguli acara tersebut dengan catatan 12.64s.

"Ini merupakan kali pertama saya berlari 100m pada tahun ini dan akhirnya dapat juga merakam catatan terbaik peribadi musim ini," kata Darshini.

Tempat kedua diraih atlet Perak, Nurul Ashikin Abas disusuli wakil Kedah.