Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) muncul juara Kejohanan Bola Jaring Karnival Pelapis selepas menundukkan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Pasukan itu menyertai kejohanan berkenaan dengan diperkuatkan beberapa pemain handalan seperti S. Leisharaani dan Nasha Nuraina Aznal.

Skuad kendalian Choo Kon Lee itu, bagaimanapun, bergelut sepanjang 10 minit pertama sebelum bangkit mendahului 27-15 dalam suku pertama.

Menurut jurulatih itu, pujian harus diberikan kepada barisan pertahanannya yang menjadi tulang belakang untuk mereka menoktahkan kejuaraan dengan kemenangan 51-26.

"SSBJ merupakan sekolah yang terkenal dengan sukan bola jaring.

"SSTMI pula merupakan sekolah kedua yang mempunyai program bola jaring.

"Perlawanan pada awalnya memang sengit tetapi apabila pemain saya mendapat rentak, mereka dapat memenangi saingan," katanya.

Sebagai rekod, SSBJ menjuarai Kejohanan Jemputan Antarabangsa Taiwan bulan lalu dan sedang melakukan persiapan untuk menghadapi Kejohanan Sekolah Tinggi Gabenor Sterling di Perth, Australia bulan depan..

"Faktor kemenangan hari ini ialah barisan pertahanan yang beraksi amat baik untuk mengekang penyerang mereka.

"Penyerang kami juga beraksi baik untuk meraih mata dan peralihan setiap posisi juga baik.

"Mereka beraksi sebagai satu pasukan," tambahnya.