Datuk Karim Ibrahim akan mempertahankan jawatan selaku presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM), 30 Jun ini, di sebalik spekulasi wujudnya kumpulan penentang dalam badan induk itu.

Kedudukan Karim tidak sama berbanding ketika dia memenangi jawatan presiden KOM pada 2014.

Kemampuannya mula diragui selepas digugurkan sebagai ahli majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) tahun lalu selain berdepan isu dengan beberapa pegawai dan atlet negara.

Namun, ia tidak menghalang pegawai berusia 63 tahun berkenaan untuk mempertahankan jawatannya

"Saya mahu terus menawarkan khidmat kepada KOM tetapi kita tunggulah dulu sama ada saya dicabar pada hari pemilihan.

"Selain daripada itu, saya akan mempertahankan jawatan ini," ujarnya dengan proses pencalonan AGM KOM dijangka bermula Isnin ini.

Dalam masa sama, Karim menyifatkan jaguh baling tukul besi, Jackie Wong, sebagai atlet contoh kerana berjaya memecahkan rekod kebangsaan buat kali kedua tahun ini walaupun lebih banyak berlatih di negara sendiri.

Atlet dari Sawarak itu melakukan balingan 67.31m ketika merangkul pingat perak dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan, semalam.

"Kenyataannya, pencapaiannya lebih penting daripada atlet yang hanya (gemar) membuat kecoh dengan mengeluarkan kenyataan dalam surat khabar.

"Tumpuan mereka kepada latihan menurun berbanding kepada media," katanya lagi.

Sementara itu, jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei, merangkul pingat emas Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Asia 2019 dengan ketinggian 2.23m sementara Hakimi Ismail membawa pulang gangsa apabila melengkapkan podium acara lompat kijang.

Satu lagi berita gembira atlet negara hadir dalam Kejohanan Memanah Dunia di Belanda, sebentar tadi.

S. Suresh cemerlang untuk mengatasi wakil Russia dalam separuh akhir recurve individu dengan keputusan 7-3.