Skuad karate berpasukan lelaki negara mempamerkan kecemerlangan untuk meraih pingat emas ke-51 buat Malaysia bagi kategori kata berpasukan dalam saingan di Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sebentar tadi.

Ternyata pasukan negara tidak berdepan masalah untuk mengungguli kategori yang kali terakhir dipertandingkan dalam temasya pada empat tahun lepas.

Gandingan trio Emmanuel Leong, Thomson Hoe dan Lim Chee Wei berjaya menewaskan gandingan Indonesia 5-0 untuk mengesahkan kedudukan pertama manakala pingat gangsa menjadi milik Vietnam.

Kemenangan itu menyaksikan Chee Wei meraih emas kedua peribadi dalam saingan Sukan SEA 2017 selepas mengutip emas pertamanya bagi kategori kata individu lelaki, Selasa lalu.

"Kami mengulangi kejayaan di Nay Pyi Taw 2013. Ini merupakan satu kejayaan yang sangat baik dan ia akan diambil sebagai pembakar semangat menuju ke Sukan Asia 2018 di Indonesia.

"Sasaran enam pingat emas telah berjaya dicapai, kami berharap dapat menambah bilangan pingat emas dalam acara kata berpasukan wanita, petang ini," ujar pengurus pasukan negara, Nik Ismail Rashed Che Ali.

"Beraksi di laman sendiri, ia adalah motivasi buat skuad karate untuk meraih kejayaan untuk menyumbang pingat emas buat Malaysia," tambahnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.