Atlet karate wanita negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, membuktikan keunggulannya dengan meraih emas selepas menewaskan lawan dari Vietnam dalam acara kumite bawah 55kg di Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Dia tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Trang Cam Lanh 3-0 bagi mengesahkan kedudukannya sebagai pemenang.

"Saya telah memberikan yang terbaik selepas membuat persiapan untuk menghadapi aksi final," kata Syakilla.

Sementara itu, seorang lagi atlet karate negara, S. Prem Kumar, berjaya mengubati kesedihannya dalam separuh akhir apabila menewaskan wakil dari Laos, Lasasima Phonepaseuth, 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat untuk meraih gangsa acara kumite bawah 55kg lelaki.

Biarpun kecewa selepas kemenangannya dalam saingan separuh akhir dibatalkan atas sebab meraih kutipan penalti maksimum, dia mempamerkan aksi memukau untuk memastikan sekurang-kurangnya berada di tempat ketiga.

Turut meraih gangsa adalah M. Mathivani selepas menewaskan wakil Filipina, Miyuki Tacay, 4-0 dalam acara kumite bawah 68kg wanita.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.