Kapten Ramos tiada dalam senarai Sepanyol ke Euro 2020

Muzaffar Musa
Mei 25, 2021 00:41 MYT
Kapten Sepanyol, Sergio Ramos, tidak disenaraikan sebagai pemain Luis Enrique dalam kempen Euro 2020 berikutan masalah kecederaannya sepanjang musim 2020-21.
Aymeric Laporte, yang baru bulan ini menukar status kewarganegaraannya daripada Perancis ke Sepanyol, antara yang dinamakan untuk mengisi kekosongan pertahanan tengah berkenaan.
Ramos merupakan sebahagian daripada pemain pasukan kebangsaan itu yang memenangi tiga kejuaraan utama berturut-turut sekitar 2008 hingga 2012 dan merupakan tunggak utama buat pasukan kelab dan negaranya sejak itu -- turut memecahkan rekod penjaga gol legenda Itali, Gianluigi Buffon, dalam penampilan antarabangsa terbanyak sepanjang zaman selepas turun beraksi dalam perlawanannya yang ke-176 awal tahun ini.
Pemain berusia 35 tahun itu diberikan tugas sebagai kapten oleh Luis Enrique tetapi hanya beraksi selama 50 minit dalam pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Greece dan Kosovo, Mac lalu sebelum pulang ke Madrid kerana kecederaan.
Dia hanya dapat melakukan 21 penampilan buat Madrid dalam kesemua kejohanan musim ini dan terlepas 31 aksi lain.
Apa yang mencuri tumpuan, bekas ketua jurulatih Barcelona, Luis Enrique, tidak menamakan seorang pun pemain Madrid dalam senarai akhir pemainnya.
Pertahanan kanan, Dani Carvajal, masih cedera dan tempatnya berkemungkinan besar boleh diisi pemain tengah Atletico Madrid, Marcos Llorente, manakala dua lagi pemain Los Blancos, Marco Asensio dan Isco, tidak terpilih.
Seorang lagi pertahanan tengah Madrid, Nacho, turut dipinggirkan, di mana gandingan Manchester City, Laporte dan Eric Garcia, terpilih walaupun menghabiskan kebanyakan musim ini di belakang Ruben Dias dan John Stones di Stadium Etihad.

? OFICIAL | ¡¡¡NUESTRA SELECCIÓN!!! ?? Estos son los 24 futbolistas que defenderán los colores de la @SeFutbol en la #EURO2020. ?? ¡¡Vuestro grito de ánimo será nuestra energía en la lucha por el Campeonato de Europa!!#SomosEspaña #SomosFederación pic.twitter.com/KY87e0im3p

— Selección Española de Fútbol (@SeFutbol) May 24, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Senarai pemain Sepanyol bagi Euro 2020:
Unai Simon (Athletic Bilbao), David De Gea (Manchester United), Robert Sanchez (Brighton and Hove Albion); Jose Gaya (Valencia), Jordi Alba (Barcelona), Pau Torres (Villarreal), Aymeric Laporte (Manchester City), Eric Garcia (Manchester City), Diego Llorente (Leeds United), Cesar Azpilicueta (Chelsea); Marcos Llorente (Atletico Madrid), Sergio Busquets (Barcelona), Rodri (Manchester City), Pedri (Barcelona), Thiago Alcantara (Liverpool), Koke (Atletico Madrid), Fabian Ruiz (Napoli); Dani Olmo (RB Leipzig), Mikel Oyarzabal (Real Sociedad), Alvaro Morata (Juventus), Gerard Moreno (Villarreal), Ferran Torres (Manchester City), Adama Traore (Wolves), Pablo Sarabia (Paris Saint-Germain)
#Real Madrid #Luis Enrique #Sepanyol #Sergio Ramos #EURO 2020