Presiden Persatuan Petanque Malaysia (PPM), Datuk Radzi Mansor, terkejut apabila badan induk itu ditinggalkan tanpa sebarang wang sebelum beliau mengambil alih pada Ogos lalu.

Radzi, yang baru mula memimpin badan induk itu, mengakui perkara itu membuat perancangan PPM tergendala dalam misi memberi pendedahan luas kepada atlet bagi membuat persiapan lengkap menjelang Sukan SEA Manila, akhir November depan.

Justeru, Radzi berharap pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu badan induk itu mendapatkan dana untuk membentuk barisan atlet petanque ke tahap antarabangsa.

"Kami perlu mengeluarkan duit poket sendiri dan saya berharap MSN dapat membantu PPM untuk mengatasi masalah dana.

"Insya-Allah, saya yakin masalah seperti ini boleh diatasi sebagaimana saya memulakan perniagaan saya dari bawah," ujarnya.

Radzi memenangi jawatan presiden selepas menewaskan penyandang, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim, dalam Mesyuarat Agung PPM, 11 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, Radzi mahu mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman dari Thailand bagi memperkasakan skuad petanque negara.

"Saya suka melihat pendekatan Thailand hasil daripada tinjauan saya di India sebelum ini.

"Petanque di Asia mula muncul dari Thailand.

"Mereka memberikan komitmen tinggi, lebih berpengalaman dan memiliki teknik kejurulatihan yang cekap," katanya.