Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton, mempersoalkan persiapan pasukannya untuk Grand Prix Austria selepas mereka gagal meraih kemenangan buat kali pertama bagi tahun 2019.

Laluan kemenangan The Silver Arrows menemui noktah dalam perlumbaan pusingan kesembilan musim ini tatkala pemandu Red Bull, Max Verstappen, mencipta kejayaan di litar sama buat kali kedua berturut-turut.

Hamilton hanya berupaya menamatkan saingan di tempat kelima sambil rakan sepasukan, Valtteri Bottas, dipaksa untuk menduduki kedudukan kelima sambil Verstappen dan pemandu Ferrari, Charles Leclerc, bersaing dua kedudukan teratas sehingga penghujung aksi.

Bagi pandangan ramai, perlumbaan itu memberikan kesegaran dalam mencabar dominasi Mercedes tetapi Hamilton tidak melihatnya daripada sudut itu.

"Selama bertahun-tahun, kami bergelut di sini," katanya.

"Saya tidak faham mengapa kami tidak mempersiapkan diri dengan baik bagi perlumbaan ini. Kami bergelut di sesetengah tempat dengan suhu dan hari ini, anda melihat perkara terburuk.

"Sebelum perlumbaan bermula, kami sudah tahu bahawa kami dalam masalah. Pelumba Ferrari dan Red Bull tampil cemerlang dan kami gagal melakukannya."

Namun, Bottas tampak lebih positif, gembira untuk menamatkan saingan di podium selepas menjangkakan aksi lebih sukar.

"Ia sukar. Kami banyak mengalami kepanasan disebabkan unit kuasa dan terpaksa cuba menurunkan suhu," katanya.

"Ia menyebabkan kami sukar untuk memandu dan itu sebab saya tidak dapat memandu dengan lebih baik, gagal bertahan. Ia sedikit kelihatan seperti satu permainan untuk hidup, jadi saya teruja dengan penamat di podium tetapi sudah pasti ia sesuatu yang perlu kami pelajari. Kami tidak berpeluang untuk menang pada hari ini."

Bagaimanapun, Hamilton masih mengungguli carta pemandu musim ini dengan perbezaan 31 mata tatkala Bottas mengutip 166 mata di tempat kedua dan disusuli Verstappen (126), pemandu Ferrari, Sebastian Vettel (123) serta Leclerc (105).