Rafael Nadal berharap dia tidak menentang Roger Federer buat kali terakhir di pentas Terbuka Perancis tatkala kedua-dua legenda itu sudah meraih pelbagai kejayaan untuk memikirkan persaraan.

Nadal meneruskan dominasi di Roland Garros menerusi kemenangan 6-3, 6-4, 6-2 dalam separuh akhir dengan angin kencang di gelanggang Philippe-Chatrier.

Pilihan kedua itu kini di landasan terbaik untuk menjulang gelaran grand slam Paris buat kali ke-12 setelah mengatasi seteru lamanya itu semalam.

Federer menyinar dalam penampilan pertamanya dalam kejohanan itu sejak 2015 dan Nadal percaya mereka akan bertemu lagi dalam kejohanan utama kedua itu.

Ditanya sama ada ia bakal jadi pertemuan terakhir mereka dalam Terbuka Perancis, Nadal menjawab: "Tidak, tidak. Saya tidak fikir begitu.

"Ia boleh jadi yang terakhir tetapi logik dalam kehidupan membuatkan kami berfikir begitu, seterusnya menjadikan kami semakin hampir kepada aksi terakhir. Itu logik dalam realiti kerana tahun kian bertambah.

"Semua orang mempunyai masalah kecil. Kami memiliki usia yang sentiasa meningkat. Saya harap ia bukan yang terakhir dan saya percaya kami menghargai perlawanan sebegini.

"Kami mengharunginya dengan emosi selepas berkongsi gelanggang. Benar kami semakin berusia tetapi ia tetap sama. Kami masih dalam separuh akhir Terbuka Perancis.

"Jadi, apabila di sini, kami tidak fikirkan persaraan," katanya lagi.

Nadal yang bakal bertemu Novak Djokovic atau Dominic Thiem dalam final turut percaya pencapaian cemerlangnya dalam Terbuka Perancis pasti akan dicabar.

"Saya yakin pemain lain mampu melakukannya di masa akan datang. Namun, sudah tentu anda perlu mempunyai kualiti, terutamanya fizikal, serta karier yang panjang untuk melakukannya," tambahnya.

"Anda perlu beraksi sekurang-kurangnya dalam 11 edisi untuk memenanginya 11 kali. Ia sukar. Adakah ia dapat disaksikan? Ya, saya mengharapkannya kerana rekod dicipta untuk dipecahkan.

"Apabila anda mencipta rekod baru, anda mempromosikan sukan ini. Ia sentiasa menjadi perkara positif."