Jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Sarjit Singh, tidak terkejut dengan kemampuan pasukannya membelasah Maybank, 14-5 secara agregat untuk mara ke final Piala TNB.

Sementara rakan sejawat di Sapura, Yahya Atan, mencipta rekod baru mengemudi pemainnya buat kali pertama di pentas akhir.

Sarjit gembira pemainnya mengikut arahan untuk terus merobek pintu gol Maybank, pada aksi timbal balik.

THT langsung tidak mengendurkan asakan, walaupun berbekalkan kemenangan 6-1 pada separuh akhir pertama.

Juara bertahan itu menang 8-4, sekali gus ke final dengan agregat 14-5, menyaksikan ianya satu petanda jelas bahawa mereka kini berada di prestasi terbaik untuk menjulang trofi Piala TNB, buat kali ketiga berturut-turut.

"Sebelum kami bermain perlawanan kedua timbal balik ini, kami sedar bahawa kami mempunyai kelebihan lima gol, jadi kami hanya perlu untuk bermain seperti biasa, cuba untuk mengelakkan sebarang kecederaan dan pastikan tiada pemain menerima kad.

"Kami bermain seperti biasa, pemain bermain dengan baik dan kami mendapatkan gol awal, kami mengekalkan corak permainan dan kami memberikan peluang kepada semua pemain untuk beraksi, dan ianya sesuatu yang cukup bagus," jelas Sarjit.

Di kem Sapura, Yahya memuji kekuatan mental pemain.

Mereka melalui saat getir apabila Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), mengheret perlawanan ke penentuan penalti, selepas menang 3-1, sekali gus menjadikan agregat empat sama.

Penjaga gol Sapura, Mohd Hairi Abd Rahman, muncul wira apabila menafikan dua pukulan penalti lawan, sekali gus bantu pasukannya ke final dengan kemenangan 4-2.

"Saya memberikan arahan kepad pemain untuk terus berlawan, kami bermain satu lawan satu. Tida gunanya untuk bermain secara bertahan kerana saya melihat dari segi kecergasan, kami lebih bagus daripada mereka jadi itu sebenarnya memberikan kelebihan untuk kami," ujar Yahya.