Atlet kebangsaan meminta jurulatih di peringkat negeri memantau lebih rapi aspek pemakanan anak didik mereka kerana kebanyakannya masih di bawah umur.

Had usia atlet Sukan Malaysia (Sukma) ialah bawah 21 tahun, sekali gus menyaksikan ramai yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi atau sekolah menengah.

Itu bermakna mereka kekurangan pendedahan mengenai bahan terlarang.

"Mungkin mereka mencari jalan mudah seperti mengambil pil-pil untuk menurunkan berat badan. Mereka seharusnya lebih berhati hati dengan perkara-perkara tersebut," jelas pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad.

Sementara itu, atlet angkat berat negara, Fazrul Azrie, mengutarakan pandangan bagaimana kegagalan atlet angkat berat dalam ujian doping baru-baru ini, akan memberikan kesan buruk kepada sukan itu sendiri.

"Di Malaysia, atlet angkat berat tidak ramai. Apabila mereka gagal ujian doping, ia akan menjadi seperti salah satu proses untuk menjatuhkan lagi sukan angkat berat.

"Terasa sangat rugi kerana atlet angkat berat tidak ramai jika mahu dibandingkan dengan negara-negara luar," kata Fazrul.

Kes doping peringkat Sukma wajar diberi perhatian serius kerana ia peringkat terakhir sebelum seseorang atlet dipilih mewakili negara.