Jurulatih lawan pedang negara, Joung Hoon, ditamatkan kontrak selepas skuad negara hanya meraih satu pingat gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sekaligus menyamai pencapaian buruk di Singapura, dua tahun lalu.

Joung Hoon, jurulatih acara epee dan foil, hanya sempat mengendalikan skuad negara selama 15 bulan.

Kontraknya tidak disambung selepas Joshua Koh I-Jie muncul penyumbang pingat tunggal Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu menerusi gangsa epee individu lelaki.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu menerima keputusan Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya menerima keputusan ini tetapi perlu diingatkan, tahap atlet lawan pedang Malaysia terlalu rendah. Hanya beberapa atlet seperti Joshua dan Natasya Ezzra Abu Bakar mampu mencabar tahap tinggi.

"Saya fikir mustahil mereka akan meraih pingat emas Sukan Asia tahun depan," katanya yang akan pulang ke Incheon, Khamis ini.

Dia sudah mendapat tawaran sebagai jurulatih sekolah tinggi Incheon.

Sementara itu, skuad negara masih berehat sejak tamat Sukan SEA dan masih menunggu arahan MFF untuk menyambung semula sesi latihan.