Bekas pelumba berbasikal trek negara, Josiah Ng, merancang untuk membuka akademi berbasikal di sekitar Lembah Klang selepas hasratnya untuk menyertai barisan kejurulatihan kebangsaan tidak kesampaian.

Hasrat Josiah untuk menjadi pengendali kebangsaan tidak kesampaian ekoran masalah dalaman yang dialami skuad negara.

Ironinya, beliau sudah meletakkan jawatan sebagai jurulatih pecut Thailand selepas membantu Jai Angsuthasawit meraih pingat emas acara keirin dalam Sukan Asia di Indonesia tahun lalu.

Bekas Olimpian Negara itu merancang untuk membuka akademi berbasikal di sekitar Lembah Klang sebagai mata pencarian.

"Saya diberitahu bahawa mereka mencari jurulatih tempatan.

"Selama ini, saya sangkakan bahawa saya adalah rakyat tempatan, namun mereka mungkin mempunyai tanggapan berbeza.

"Ia akan bermula dengan kem latihan di Kota Damansara bulan depan.

"Saya benar-benar mahu membantu perkembangan budaya di sini," katanya.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memilih jurulatih berbasikal trek dan lebuh raya menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bulan lalu.

Antara yang terpilih adalah Amir Mustafa Rosli dan Mohd Yusof Abd Nasir.