Anthony Joshua melaungkan keyakinan tiada apa mampu menyekatnya daripada mempertahankan gelaran kejuaraan heavyweight dunia tatkala dia turun menentang Kubrat Pulev di Stadium Tottenham Hotspur, 20 Jun depan.

Semalam, Joshua disahkan akan mempertaruhkan tali pinggang IBF, WBA, WBO dan IBO yang dipegang ketika ini apabila turun melakukan perhitungan dengan peninju berusia 38 tahun dari Bulgaria, Pulev, di London.

Rekod tanpa kalah Joshua lebur di tangan Andy Ruiz Jr tetapi menebus kejuaraannya dengan menewaskan peninju Mexico itu sejak pertarungan terakhirnya di laman sendiri menentang Alexander Povetkin di Wembley pada September 2018.

Satu pertemuan menentang Tyson Fury dijangka menjadi cabaran seterusnya jika Joshua menundukkan Pulev sambil rakan senegaranya itu mengatasi Deontay Wilder.

Buat masa ini, Joshua dilihat teruja untuk masuk ke gelanggang yang buat kali pertama diadakan di laman kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur.

"Pada 20 Jun nanti, saya akan pertahankan gelaran heavyweight dunia. Saya kembali ke kampung halaman sejak sekian laman," katanya.

"Stadium hebat telah dibina di utara London dan saya berbesar hati untuk membawakan komuniti tinju dari seluruh dunia dalam usaha mencipta sejarah membawakan pertarungan kejuaraan dunia yang pertama di situ.

"Tali pinggang kejuaraan menjadi pertaruhan dan tiada apa yang dapat menghalang saya daripada meraih kemenangan."

Penganjur pertarungan itu, Eddie Hearn, menambah: "Saya sangat gembira untuk melihat Joshua kembali ke ibu negara dan 70,000 penonton di Stadium Tottenham Hotspur pastinya akan menjadi sesuatu yang istimewa.

"Tahun 2019 merupakan detik yang mengandungi segalanya tetapi apa yang kurang adalah ketiadaan pertarungan di Britain. Jadi, saya percaya ia bakal menjadi tahun yang terbesar buat Joshua sambil perhatian terarah kepada Pulev yang sangat memerlukan kemenangan.

"Pulev tidak kalah dalam tempoh enam tahun dan pasukannya, lebih-lebih lagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Top Rank, Bob Arum, sangat teruja dengan aksi ini. Saya fikir anda akan saksikan sesuatu yang istimewa daripada Joshua pada 20 Jun nanti. Satu persembahan hebat bakal disajikan."