Kejohanan Lawan Pedang Asia di Hong Kong akan menjadi medan terbaik buat atlet lelaki negara, Joshua Koh I Jie, menilai sejauh mana potensi diri bagi menghadapi Sukan SEA, 19-30 Ogos depan.

Kejohanan yang bermula esok hingga 20 Jun ini turut menyaksikan penyertaan daripada negara Asia Tenggara seperti Vietnam dan Thailand, di mana ia turut menjadi saingan kompetitif untuk Joshua melihat tahap prestasi pesaingnya.

Selain itu, ia adalah masa yang tepat untuk dia memperbaiki kelemahan sebelum beraksi dalam temasya dwi-tahunan itu nanti.

Enggan tertekan, Joshua tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi dengan hanya mahu menimba pengalaman berguna.

"Secara peribadi, saya menyasarkan untuk berada dalam kelompok 16 terbaik. Selepas itu, saya akan tengok permainan pesaing lain, untuk membaca corak mereka sebagai persiapan bagi Sukan SEA.

"Selalunya Korea Selatan, China dan Jepun kuat. Kazakhstan pun kuat juga untuk acara saya," katanya

Pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 itu seterusnya akan berkampung di Korea Selatan sehingga awal Ogos bagi menjalani latihan intensif di sana.

"Saya akan ambil apa yang saya belajar dalam kem latihan nanti, cuba menggunakannya dan memperbaiki kelemahan kalau ada untuk persediaan Sukan SEA nanti."