Perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven, gembira dalam duka di sebalik pengumuman Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikannya dalam Sukan Asia buat kali pertama biarpun ia mengundang perit kepada rakan sepasukan.

Joo Ven menggantikan rakan sepasukan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang digugurkan kerana terlibat dengan isu merokok semasa kem latihan.

Namun, dia berada dalam dilema kerana hanya mempunyai tempoh sebulan untuk melakukan persiapan, apatah lagi tiada sebarang kejohanan bakal disertai untuknya menguji kemampuan.

Justeru, Joo Ven tiada pilihan selain menambah waktu latihan sebagai persiapan intensif.

"Berita baiknya, saya berasa gembira terpilih untuk mengambil bahagian dalam Sukan Asia 2018, namun saya berharap Iskandar akan bangkit dan kembali lebih baik selepas ini.

"Saya sentiasa menjaga tahap prestasi dan sekiranya tidak mempunyai sesi latihan, maka saya akan melakukan latihan secara bersendirian.

"Saya dapat berasakan banyak peningkatan dalam permainan saya," katanya.

Joo Ven juga menolak dia adalah penumpang dalam skuad Malaysia ekoran prestasinya yang tidak menentu jika dibandingkan dengan beberapa pemain muda yang lain.

Selain Joo Ven, tiga lagi pemain dalam skuad perseorangan lelaki negara ialah Datuk Lee Chong Wei, Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia.

"Ini sebahagian proses. Tahap permainan saya seperti dulu tetapi paling utama adalah untuk mengekalkannya," ujarnya.