Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, mahu melupakan pencapaian hambar dalam Sukan SEA Kuala Lumpur akibat dijangkiti demam denggi yang hanya diketahuinya sejurus selepas tamat saingan.

Jonathan dicanang adalah antara pelari terbaik negara yang akan menyerlah selepas Khairul Hafiz Jantan dalam temasya dwi-tahunan itu.

Namun dia gagal meraih sebarang pingat di sebalik kecermelangan melangkah ke perlumbaan akhir 100m dan membantu skuad 4x100m melakar rekod baru kebangsaan dengan catatan 39.27s.

Jonathan hanya mengetahui dijangkiti demam denggi selepas tamat acaranya dan terlantar sakit selama dua minggu selepas pulang ke kampung halaman di Sarawak.

"Sakit adalah sesuatu yang kita tidak boleh kawal, jadi saya hanya berserah. Kita tidak boleh mengelak," katanya.

Jonathan kini berpeluang menebus kehampaan itu apabila menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka ATM di Lumut, Perak, bermula Khamis ini.

Dia mempunyai catatan peribadi terbaik 100m tahun ini, 10.28s, yang dilakukan dalam Terbuka Korea Selatan pada Jun lalu, manakala catatan terbaiknya dalam 200m ialah 21.18s.

"Bagi saya, catatan masa adalah perkara yang paling penting, termasuk penyertaan dalam setiap kejohanan."