Penyertaan sulung dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2018 menyerlahkan kemampuan atlet lempar cakera Sarawak, Jonah Chang Anak Rigan, selepas dia memecahkan rekod kejohanan dalam kategori 15 tahun ke bawah.

Percubaan pertama Jonah membuktikan dia mempunyai potensi dalam acara itu selepas membuat lemparan sejauh 58.78 meter.

Catatan itu jauh lebih baik berbanding rekod kejohanan sebelum ini, iaitu 54.49m, milik seorang lagi atlet dari Sarawak, Lim How Sieng, pada 2016.

Ternyata percubaan itu tidak dapat ditandingi oleh peserta lain, sekali gus menyaksikan Jonah meraih pingat emas dalam penyertaan pertama di peringkat MSSM.

Pingat perak menjadi milik atlet perlis, Rizad Azri Che Radzi, dengan catatan 50.41m, diikuti Wong Yu Kiong dari Sarawak yang meraih gangsa.

"Terima kasih kepada guru-guru yang telah melatih serta rakan-rakan yang menyokong saya. Kejayaan ini sememangnya menjadi sasaran saya.

"Saya mahu melakukan 60m tetapi tidak mengapa, saya akan cuba lagi dalam acara lontar peluru pada Khamis ini," kata Jonah.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pauh ini menyasarkan untuk cuba mengatasi jarak 60 meter dalam pertandingan lain yang akan disertainya selepas ini.

Walaupun tidak akan mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada September depan, Jonah tidak kecewa, sebaliknya percaya peluangnya untuk terus meningkatkan prestasi tetap ada.

"Sebenarnya, saya pertama kali mahu melakukan lemparan sejauh 70m pada tahun ini. Tahun lalu, saya hanya mencatat lingkungan 30-40m sahaja.

"Kini, saya akhirnya mencipta rekod baru."