Jurulatih renang negara, Paul Birmingham, boleh menarik nafas lega bagi Sukan Asia Indonesia Ogos depan apabila Olimpian, Phee Jing En, sanggup menangguhkan pengajian di Amerika Syarikat untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, Isnin ini.

Skuad renang negara bergelut dengan masalah ketiadaan perenang wanita berkualiti, dengan beberapa atlet senior seperti Khoo Cai Lin, Siow Yi Tian dan Erika Kong sudah bersara sementara Christina Loh melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.

Ia menyaksikan tiada perenang wanita melepasi had kelayakan Sukan Asia dan ternyata kepulangan Jing En tepat pada masanya.

"Dalam perbualan beberapa kali minggu ini, kami mempunyai perbincangan yang baik berhubung program latihannya dan dia juga menyebut untuk membuat perubahan.

"Dalam aksi terakhirnya di Amerika Syarikat, dia tidak dapat mempamerkan aksi baik. Jadi, dia akan melakukan lebih baik tahun ini dan dia tidak sabar untuk kembali.

"Sementara itu, Christina akan mengambil program pasca siswazah di Amerika Syarikat. Jadi, dia akan fokus terhadap pelajarannya di sana," kata Birmingham.

Jing En adalah pemegang rekod kebangsaan 100m kuak dada dengan catatan 1 minit 5.65 saat dan beraksi dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu menyaksikan skuad renang hanya diwakili seorang perenang wanita, iaitu Caroline Chan, dalam 50m dan 100m kuak lentang, namun gagal meraih sebarang pingat.