Sebastian Vettel mengakui dapat melepasi sesi kelayakan kedua (Q2) sudah dikira cukup baik selepas kekecewaan Ferrari di Litar Spa pada hujung minggu ini berlanjutan.

Sesi latihan terakhir itu menyaksikan Vettel mencatat masa paling lambat di atas trek tersebut sementara rakan sepasukan, Charles Leclerc, di tangga ke-17.

Pasangan itu mencatat sedikit peningkatan dalam sesi kelayakan tetapi masih gagal mencapai tahap elit Q3 yang menyaksikan Leclerc bakal memulakan Grand Prix (GP) Belgium di petak ke-13 manakala Vettel di belakangnya.

Lewis Hamilton pula terus cemerlang apabila satu setengah saat lebih pantas daripada pasangan Ferrari itu, yang menikmati prestasi memberangsangkan di litar yang sama tahun lalu apabila Leclerc muncul juara sambil Vettel merekodkan catatan terpantas sepusingan.

"Ini adalah gambaran sebenar mengenai apa yang mampu dilakukan oleh kereta ini pada hari ini," kata Vettel.

"Jelas, kami telah mencuba segala yang termampu dan ada banyak usaha yang telah dilakukan sejak semalam hingga hari ini untuk keadaan menjadi lebih baik.

"Saya berjaya memperbaikinya sedikit. Tetapi kami tidak berada di tempat yang kami mahukan, tetapi ini bukan pertama kali ia berlaku dalam perlumbaan dan sesi kelayakan.

"Petak ke-13 tidak begitu menarik seperti petak pertama tetapi kami tetap berusaha menyatukan semuanya. Pagi ini, kami hampir tidak berjaya ke Q2 tetapi kedua-dua kereta kami mampu mengharunginya.

"Jelas sekali ini bukannya satu kejayaan, tetapi itu sahaja yang mampu kami lakukan pada hari ini bagi menunjukkan di manakah kedudukan kami."