Bagi menggalakan lagi perkembangan sukan permotoran tempatan di peringkat akar umbi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited untuk mewujudkan lebih banyak litar lumba di setiap negeri dengan yang terbaru adalah pembinaan litar lumba di Jengka, Pahang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata pihak KBS sedar akan prospek yang cemerlang hadir daripada sukan itu sambil mengumumkan satu lagi litar lumba akan dibina di Jengkadengan kos sebanyak RM40 juta serta bakal siap dalam tempoh 18 bulan.

Selain itu, beberapa projek naik taraf juga sedang dijalankan, antaranya di Litar Pasir Gudang, Johor.

"Kami dalam proses perancangan serta permulaan untuk proses pembinaan ini. Saya yakin ia akan mengambil masa selama 18 bulan untuk siap," ujar Khairy.

Selain itu, bagi menunjukkan sokongan terhadap pelumbaan cub prix yang banyak melahirkan bakat muda, KBS juga menaja salah satu kategori perlumbaan musim ini, iaitu Wira-KBS, perlumbaan yang melibatkan pelumba dalam lingkungan usia 13-17 tahun.

"Melalui penajaan beberapa perlumbaan yang dapat dilihat pada hari ini, kami menaja kategori Wira-KBS. Untuk makluman, sejak tahun 2014, kami telah memperuntukkan hampir RM15 juta untuk pembangunan sukan permotoran," katanya.