Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah Semenanjung 2019, Emir Abdul Jalal, menepis dakwaan saingan berbasikal lebuh raya itu merupakan penjenamaan semula Jelajah Malaysia yang sudah lama tidak dianjurkan, sebaliknya menegaskan ia satu perlumbaan yang berbeza.

Jelajah Malaysia 2019 sepatutnya dijalankan bulan depan tetapi masih tiada kata putus daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tatkala ia tidak dipertandingkan tahun lalu.

Jelajah Semenanjung yang mempertaruhkan lima laluan meliputi jarak sejauh 850.7 kilometer adalah perlumbaan yang tidak mempunyai pertalian dengan kejohanan itu.

Apatah lagi, ia baru pertama kali dianjurkan dan Emir mendedahkan kejohanan itu mendapat pengiktirafan status 2.1 daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Ini adalah acara pertama kali dan ia menerima pengiktirafan UCI. Selepas melakukan perbincangan dengan PKBM, kami bersetuju untuk menjalankan acara baru," katanya.

Untuk permulaan, pihak penganjur membayangkan 20 pasukan akan mengambil bahagian dengan cuba untuk memikat beberapa pasukan pro benua sebagai tarikan.

"Untuk saingan jelajah, kami boleh menjemput 50 peratus daripada peserta. Untuk permulaan ini, kami akan bermula dengan pasukan pro benua. Senarai nama masih dalam perbincangan," katanya lagi.