Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, optimis barisan baru yang ditampilkan dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix Dubai tempoh hari akan menjadi watak penting dalam skuad negara dalam misi untuk mendapatkan pertambahan pingat dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia, November depan.

Dua tahun lalu ketika di London, Malaysia membawa pulang dua emas dan satu perak, serta rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 dan lontar peluru F20 -- masing masing menerusi trio, Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Ridzuan Puzi.

Kini, selepas dua tahun, Jeganathan optimis Malaysia mungkin akan ada pertambahan pingat dalam Kejohanan Dunia di Dubai berdasarkan prestasi semasa muka baru yang melakukan kemunculan sulung dalam saingan Grand Prix di Dubai.

Antara yang mencuri perhatian adalah Afiq Ali Hanafiah yang menyumbang emas dalam acara 100 meter pecut T11, selain Ahmad Solihim Mohd Nor yang meraih perak acara 100m T46 dan Ummi Syuhaidah Idris, gangsa dalam acara lontar peluru F35-37.

"Kami akan membuat persiapan selama enam bulan sebelum menghadapi Kejohanan Dunia," kata Jeganathan.

Setakat ini, trio olahraga para itu sudah pun mengesahkan kedudukan mereka dalam Kejohanan Dunia, namun dalam masa sama Jeganathan mahu memastikan sekurang-kurangnya tujuh lagi atlet negara layak ke kejohanan itu untuk mencerahkan peluang mendapatkan pingat.

"Saya mahu membawa 10 atlet kerana ia meningkatkan peluang untuk layak ke Kejohanan Dunia," ujarnya.