Jangan pernah rasa rendah diri! Itu peringatan oleh penaung Majlis Maralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah, kepada kontinjen para negara untuk terus membuktikan kemampuan masing-masing demi negara dalam Sukan Para ASEAN 2017 bermula Ahad ini.

Menjelang temasya dwitahunan iyu, tiada yang lebih penting selain terus berpegang kepada prinsip semua atlet adalah sama untuk terus bersemangat beraksi demi negara.

Jeanne enggan atlet para negara dibayangi perkara yang boleh menjatuhkan semangat mereka untuk membandingkan kemampuan dengan atlet normal.

"Mereka kena kuat semangat. Mereka ada satu peluang untuk mewakili negara walaupun dengan apa sahaja keadaan. Mereka perlu bangkit. Inilah masanya.

"Saya mahu mereka pergi dan lakukan yang terbaik untuk negara," katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan obor yang dilakukan oleh Presiden MPM, SM Nasimuddin SM Amin, di ibu negara, hari ini.

Baginya, kecekalan yang ada pada atlet "istimewa" itu melebihi segala-galanya, khususnya jika dilihat kembali insiden kemalangan yang menimpa skuad berbasikal para baru-baru ini.

"Saya tengok sokongan adalah luar biasa dalam Sukan SEA. Saya harap sokongan itu adalah sama dalam Sukan Para ASEAN untuk kita meraih 103 pingat emas," ujar atlet para kebangsaan, Ziyad Zolkefli.