Pelumba antarabangsa Malaysia, Jazeman Jaafar, menyertai Akademi Pelumba McLaren GT bagi menghadapi perlumbaan berprestij, Siri Ketahanan Blancpain, tahun ini.

Jazeman akan memandu salah sebuah daripada empat kereta Strakka Racing McLaren 650S GT3, bersama rakan Akademi Pemandu dan Pemandu Kilang ikon pengeluar kereta British itu.

Jazeman kini memasuki musim penuh keduanya dalam perlumbaan kereta sport, selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam Siri Ketahanan Blancpain bersama HTP Motorsport pada tahun pertama.

Kepulangan Jazeman dalam cabaran siri kereta sport utama bersama Strakka Racing dan McLaren GT bermula hari ini selepas membuat perlumbaan ujian rasmi di Litar Paul Ricard, selatan Perancis.

Ujian dua hari dalam Siri Blancpain GT akan menjadi perlumbaan kedua Jazeman bersama McLaren 650S GT3, dengan pelumba berusia 24 tahun negara itu telah menggunakan sampel model itu dalam sesi ujian di Valencia, akhir tahun lalu.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam McLaren GT, Jazeman berkata: "Saya amat berbangga kerana menandatangani perjanjian dengan McLaren GT dan mempunyai tempat dalam Akademi Pemandu. Ia adalah impian saya untuk menjadi sebahagian daripada program Kilang dan menyertai McLaren GT adalah satu keistimewaan sebenar bagi saya.

"Ia pengeluar kereta British sebenar yang menghasilkan kejuruteraan supercar paling indah dan akan memandu versi perlumbaan menjadi satu peluang yang hebat."

Tambah Jazeman, "Saya mempunyai peluang untuk memandu 650S dan ia memang mengagumkan, jadi saya berminat untuk kembali ke litar dan menyesuaikan diri sebelum musim bermula.

"Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan pasukan profesional Strakka Racing yang sangat dihormati.

"Siri Blancpain adalah sangat kompetitif, mungkin siri kereta sport yang paling berdaya saing di dunia, dengan semua nama-nama besar turut bertanding. Ia menjadi tahun yang sangat menarik.

Siri Ketahanan Blancpain akan menggunakan lima litar Formula 1, bermula di Monza, Itali, kemudian ke UK untuk saingan British Motorsport, Silverstone.

Pusingan seterusnya ialah di Litar Paul Ricard di Perancis, sebelum pasukan menuju ke Spa di Belgium untuk ujian ketahanan kemuncak, perlumbaan 24 jam.

Siri ini diakhiri dengan pusingan terakhir di Litar Catalunya di Barcelona, Sepanyol. Kejohanan ini menampilkan perlumbaan tiga jam, perlumbaan enam jam dan perlumbaan 24 jam.

Setiap acara mempunyai dua sesi latihan, tiga sesi kelayakan (satu setiap pemandu) dan perlumbaan utama, dengan tiga pemandu bagi setiap kereta.