Pemain tenis dari Poland, Jerzy Janowicz, membuktikan bahawa dia di landasan terbaik untuk kembali ke prestasi asalnya selepas melangkah ke suku akhir ATP pertama buat dirinya dalam tahun 2017 selepas menewaskan Grigor Dimitrov 7-6 (7-4) 6-3 dalam saingan Terbuka Stuttgart.

Janowicz, yang pernah berada di tangga ke-14 dunia sebelum ini, mengalami masalah kecederaan lutut pada tahun lalu dan kini berada di kedudukan ke-155 dunia.

Namun dalam pertemuan menentang Dimitrov yang berada di tangga ke-12 dunia, dia mempamerkan aksi memukau untuk meraih kemenangan besar pertamanya dalam masa dua tahun.

“Saya cuba untuk kembali ke tempat di mana saya berada pada 2015,” kata Janowicz.

“Saya baru pulih daripada kecederaan, ia sangat sukar. Namun, kini saya di landasan terbaik untuk bangkit,” tambahnya.

Dalam pusingan seterusnya, Janowicz bakal bertemu pemain ke-49 dunia, Benoit Paire, yang telah menewaskan pilihan penyokong serta wakil tempatan, Peter Gojowczyk, 6-2, 6-4.

Paire yang berasal dari Perancis sudah pasti mahu memastikan dirinya layak ke separuh akhir selepas melakukannya dalam edisi di Chennai, Montpellier dan Marrakesh.