"Jangan pinggirkan kami dan harap sukan ini tetap mendapat perhatian Majlis Sukan Negara (MSN)", itu harapan atlet boling padang negara jika sukan itu tiada lagi di bawah Program Podium pada masa akan datang.

Dua atlet lelaki negara, Mohd Syamil Syazwan Ramli dan Fairuz Abdul Jabal, antara yang pasti terkesan jika cadangan Program Podium hanya mengkhususkan kepada acara Olimpik diterima pakai.

Menurut Syamil, boling padang berjaya memenuhi sasaran satu emas yang diletakkan dalam Sukan Komanwel lalu selain tujuh daripada lapan kategori layak ke suku akhir.

Justeru, dia melihat boling padang wajar terus diangkat, tambahan mereka sering kali mengharumkan nama negara beraksi dalam Kejohanan Dunia.

"Saya berharap boling padang dapat kekal dalam MSN dan ISN. Setiap tahun, terdapat kejohanan besar bertaraf antarabangsa dan ia akan membantu meningkatkan lagi mutu sukan ini," kata Syamil.

Fairuz yang turut berada di bawah Program Podium memohon boling padang terus berada di bawah pemantauan MSN selepas pelbagai kemudahan dinikmati selama ini.

Sentiasa mendapat pendedahan beraksi di luar negara selain bantuan sains sukan, dia berasakan banyak manfaat telah diperoleh atlet boling padang.

"Kami berharap tidak dipinggirkan dan memerlukan khidmat daripada pihak MSN dan ISN untuk menjaga sukan ini," kata Fairuz.