Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Lee Jae-hyung, mengekalkan trio dalam Kejohanan Dunia 2019 yang menyaksikan pemanah senior, Mohd Haziq Kamaruddin, terpaksa melupakan Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020, bulan depan.

Jae-hyung berpuas hati dengan prestasi pemanah negara dalam Kejohanan Dunia di Belanda itu selepas Khairul Anuar Mohamad meraih pingat perak acara recurve individu lelaki, minggu lalu.

Beliau mengambil keputusan untuk mengekalkan gandingan Khairul Anuar, Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Zariff Syahir Zolkepeli bagi acara recurve berpasukan untuk dihantar ke Tokyo bagi menyertai kejohanan di venue Sukan Olimpik berkenaan.

Ia bermakna Haziq terpaksa menunggu lebih lama untuk kembali merampas tempatnya dalam skuad berpasukan lelaki selepas Malaysia tidak menyertai Piala Dunia di Jerman yang turut diadakan bulan depan.

"Piala Dunia bertembung dengan Kejohanan Ujian Sukan Olimpik di Tokyo.

"Kami akan kembali menjalani latihan esok sebagai persiapan untuk Sukan SEA (November ini).

"Kemudian kami akan kembali berlatih pada Ogos dan September depan bagi menghadapi dua Kejohanan Grand Prix Asia.

"Pada November depan pula, kami akan ke Bangkok (Thailand) untuk Kejohanan Asia.

"Selepas itu kami akan kembali berlatih untuk Sukan SEA," katanya.